Keputusan Sabah Tidak Laksanakan PKPB Disambut Baik

Datuk Christina Liew

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew menyokong sepenuhnya keputusan Ketua Menteri untuk tidak melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu berkata, adalah lebih baik mengambil langkah selamat daripada berdepan risiko penularan wabak Covid-19.

”Kerajaan Sabah mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan soal kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Berikutan itu, saya meminta orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir pada 12 Mei ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pelaksanaan PKPB diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengumumkan keputusan Sabah untuk tidak melaksana PKPB pagi tadi.

Dengan itu, Sabah kekal dengan pelaksanaan PKP tahap empat yang akan berakhir 12 Mei ini.

Selain Sabah, kerajaan Sarawak juga memutuskan tidak akan melaksana PKPB dan membuka semula aktiviti dan sektor ekonomi tertentu pada Isnin.

Sementara itu, kerajaan Kedah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan PKPB sehingga syarat dan garis panduan PKPB diperhalusi.

Sehingga kini, sebanyak 315 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 252 kes yang sudah pulih. Kes kematian di Sabah kekal dengan empat kes.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *