(VIDEO) Bunyi Wanita Menangis Di Sekatan Jalan Raya

Anggota Rela yang berkawal di sekatan jalanraya Tenom-Sipitang cuba mencari dari mana datang bunyi tangisan wanita dalam klip video tular tersebut.

TENOM: Sepasukan anggota polis dan Rela yang sedang menjalankan sekatan jalan raya Op Covid-19 di Jalan Tenom-Sipitang, semalam, dikejutkan dengan bunyi tangisan wanita seakan ‘kuntilanak’.

Bagaimanapun, polis percaya kejadian itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menakutkan orang ramai serta pasukan petugas.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 10.30 malam semalam, ketika lima anggota terdiri daripada tiga anggota polis dan dua Rela sedang menjalankan Op Covid-19.

DSP Hasan Majid

Anggota polis dan Rela yang sedang bertugas terdengar bunyi tangisan wanita dan cuba mengesannya namun beberapa saat bunyi hilang.

Kejadian itu sempat dirakam anggota petugas sehingga tular di media sosial dan ramai mendakwa itu adalah tangisan makhluk halus.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, bunyi yang dikatakan makhluk halus itu tidak wujud dan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan oleh individu yang cuba menakut-nakutkan.

“Lokasi itu memang benar di Jalan Tenom – Sipitang namun bunyi tangisan wanita itu adalah bunyi yang diambil daripada Youtube ‘Kuntilanak menangis’.

“Sama ada mereka cuba menakut-nakutkan ataupun cuba bergurau. Namun polis akan menyiasat perkara itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasan berkata, pagi tadi, sepasukan polis menjalankan pemeriksaan berhampiran lokasi itu dan menemui satu lokasi di atas bukit yang baru ditebas.

“Kita percaya juga suara wanita menangis itu diambil dari youtube dan dimainkan dari lokasi berkenaan melalui pembesar suara atau telefon bimbit mereka.

“Oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang dan kita bagi amaran supaya menghentikan perbuatan itu dan polis akan menjalankan siasatan untuk kesan pelakunya.

“Jika didapati pelakunya kita akan disiasat mengikut Seksyen 189 Kanun Keseksaan dan dihukum dengan penjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya dan Peraturan 11 (1) Peraturan – Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah – Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.4) 2020, boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya,” katanya. – Berita Sabah

36126