Pelajar Sabah Pulang Dari Semenanjung & Sarawak, Boleh Kuarantin Di Rumah

KOTA KINABALU: Ibu bapa kepada pelajar Sabah yang baru pulang dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri membenarkan pelajar-pelajar ini menjalani kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari.

Ini susulan keputusan yang dibuat kerajaan Sabah untuk memberi pengecualian kepada pelajar-pelajar yang baru pulang ke Sabah ini daripada menjalani kuarantin di pusat-pusat kuarantin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan Sabah memutuskan untuk memberi pengecualian kuarantin di pusat-pusat kuarantin, kepada pelajar-pelajar Sabah yang datang dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Beliau dalam satu kenyataan di sini berkata, pengecualian ini termasuklah untuk pelajar di bawah tajaan biasiswa Yayasan Sabah.

“Pelajar-pelajar ini hanya perlu menjalani kuarantin di rumah (home quarantine) masing-masing untuk tempoh 14 hari dan ibu bapa atau penjaga hendaklah bertanggungjawab mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Bagaimanapun pelajar yang bergejala akan ditempatkan di Pusat Kuarantin untuk tempoh 14 hari, tertakluk kepada penilaian dan rekomendasi oleh JKNS semasa ketibaan pelajar,” katanya.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *