Inilah Masa Bank Patut Bantu Rakyat – Tengku Zafrul

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Institusi perbankan memiliki kemampuan untuk melupuskan faedah terakru bagi pinjaman sewa beli dan keuntungan bagi pembiayaan Islam berkadar tetap yang terbabit dalam tempoh moratorium enam bulan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ini adalah masa untuk syarikat kewangan bersama-sama kerajaan membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19.

“Sebagai bekas korporat perbankan yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang ini, ia (pelupusan) boleh dilakukan oleh perbankan ketika rakyat amat memerlukan bantuan ketika ini.

“COVID-19 adalah sesuatu yang belum pernah terjadi sebelum ini, jadi saya amat berharap Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank-bank pertimbang pelupusan faedah terakru ini,” katanya menerusi penstriman langsung Eksklusif TV3 bersama Menteri Kewangan di Sri Pentas, hari ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul menerusi laman Facebook rasminya, berkata Kementerian Kewangan menyarankan agar semua institusi kewangan khususnya yang terbabit dalam moratorium untuk mempertimbangkan supaya faedah terakru bagi pinjaman sewa beli dan keuntungan bagi pembiayaan Islam berkadar tetap dilupuskan sewaktu tempoh moratorium itu.

Katanya, mengikut Akta Bank Negara Malaysia 2009, isu itu di bawah bidang kuasa bank pusat, namun demikian, Kementerian Kewangan telah memulakan langkah proaktif mencari penyelesaian kemelut berkenaan melalui perbincangan bersama BNM dan bank untuk membuat keputusan yang tepat mengikut keperluan rakyat.

“Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar disebabkan oleh wabak COVID-19, saya amat berharap pandangan ini dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh BNM dan juga institusi kewangan dalam negara.

“Saya yakin langkah ini akan dapat memberi impak positif kepada rakyat kita,” katanya menerusi laman Facebook rasminya.

Baru-baru ini berlaku kekeliruan umum berkenaan kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan berkaitan skim moratorium enam bulan bayaran balik pinjaman sewa beli yang ditawarkan oleh institusi kewangan.

Tengku Zafrul berkata, walaupun BNM sudah mengesahkan maklumat mengenai moratorium semalam dengan faedah terakru dibenarkan dalam tempoh moratorium, namun ilustrasi bank pusat itu berlainan.

“Ia menimbulkan kekeliruan kepada rakyat. Saya harap BNM dan bank bolehlah pertimbang mengenai pelupusan faedah terakru ini,” katanya.- Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *