Ingkar PKP, Lima Bersaudara Minum Montoku Ditahan

Lima Bersaudara Minum Montoku Ditahan

TUARAN: Lima bersaudara ditahan selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan meminum minuman keras di sebuah rumah di Kampung Kotonuan Baru, Kiulu, hari ini.

Dalam serbuan jam 1 tengah hari itu, kelima-lima lelaki berusia 19 hingga 42 tahun terbabit didapati sedang leka bersembang meminum minuman beralkohol jenis arak dan montoku tanpa mempedulikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, bertindak atas maklumat dan aduan awam, polis melancarkan operasi Ops Pintas Khas Covid-19 ke rumah berkenaan.

Mohd Hamizi Halim

Katanya, ketika serbuan, kelima-lima lelaki terbabit didapati sedang minum arak bersama dan polis terus menahan semua lelaki berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati semua tangkapan adalah lelaki tempatan dan mempunyai hubungan tali persaudaraan antara satu dengan yang lain.

“Lokasi serbuan adalah rumah milik salah seorang daripada saudara mereka yang ketika itu tidak berada di rumahnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, semua tangkapan akan ditahan reman selama empat hari bermula esok hingga Selasa depan untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan & Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 4) 2020.

Sehubungan itu, Mohd Hamizi menasihati orang awam supaya tidak berhimpun atau terlibat dengan mana-mana perhimpunan di dalam mana-mana premis di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan sama ada bagi maksud keagamaan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan.

“Selain itu, seseorang individu hanya boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan atau dari satu kawasan tempatan jangkitan yang lain hanya dengan tujuan seperti membeli makanan, ubatan atau keperluan harian.

“Masyarakat juga diminta untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kekal di rumah, sentiasa memakai topeng muka dan kerap cuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman, serta sentiasa mengamalkan penjarakan sosial supaya kita dapat memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hamizi berkata, sebanyak 22 kertas siasatan dibuka dengan jumlah tangkapan seramai 58 orang sepanjang PKP yang bermula 18 Mac lalu hingga hari ini.- Berita Sabah

4984