Bantuan Bekalan Makanan Diteruskan Pada Fasa PKP Keempat

Datuk Peter Anthony

NABAWAN: Bantuan bekalan makan kepada mereka yang memerlukan akan diteruskan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Keempat.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, bantuan kampit beras menjadi keutamaan selain bakul makanan untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Kita maklum bahawa PKP diteruskan di peringkat negeri dan seperti yang diarahkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal bahawa bantuan akan terus diberikan di semua daerah di pedalaman sama ada di pantai timur atau pantai barat.

“Ia akan diagihkan sama kepada semua yang memerlukan kerana kita tahu sehingga kini memang terdapat banyak keluhan yang rata-rata mempunyai kesusahan dari segi pencarian sumber untuk membeli makanan dan sebagainya.

“Masalah ini amat dirasai di peringkat bukan sahaja di bandar tetapi juga di kampung kerana ada di antara mereka ini kais pagi makan pagi jadi kita tahu beban mereka.

“Saya percaya kalau ini dapat kita bantu di samping bantuan-bantuan kewangan lain seperti e-kasih, bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan negeri dan sebagainya ia dapat membantu meringankan beban kepada penduduk kampung kita,” ujarnya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja di sini pada Khamis.

Peter turut menzahirkan penghargaan kepada petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang membantu menyalurkan bantuan barangan tersebut.

“Kita berterima kasih kepada anggota PDRM, Kementerian Kesihatan, RELA, penjawat awam persekutuan dan negeri dan sukarela di atas kerjasama di semua peringkat yang selama ini bertungkus lumus membantu kerjaan negeri.

“Kita dapat lihat ketika ini kita (Sabah) berada dalam kedudukan yang baik jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain di mana kesemua kawasan telah dikategorikan sebagai Zon Kuning dan tidak ada lagi kawasan Merah.

“Saya yakin dan percaya dengan kerjasama semua pihak kita akan dapat mencapai tahap Zon Hijau pada masa terdekat ini,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Peter turut menyelar dakwaan sesetengah pihak bahawa bantuan bakul makanan hanya diserahkan kepada ahli parti Warisan sahaja.

“Kita bekerjasama dengan Pejabat Daerah selaku pusat pengumpulan barangan dan senarai aggihan akan diberikan oleh Ketua Kampung dan MPKK dan sehingga kini kita tidak ambil peduli mereka ini daripada mana-mana parti politik kerana mereka ini adalah rakyat Sabah yang memerlukan bantuan.

“Yang paling penting kita akan pastikan penerima ini adalah layak untuk menerima bantuan tersebut dan sekiranya ada yang ingin membuat aduan dan sebagainya mereka boleh datang berjumpa dengan Pegawai Daerah sama ada di Tambunan, Sook atau Nabawan,” jelasnya.

Pada lawatan tersebut, Peter yang juga penyelaras ADUN Pendalaman Atas mengumumkan bantuan bantuan beras dan makan sebanyak lima ribu bakul telah diserahkan kepada DUN Sook dan jumlah yang sama akan turut diberikan kepada daerah Nabawan bermula minggu hadapan dan bantuan akan diteruskan sekiranya masih ada yang memerlukan.

SumbeR: JaPEN Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *