Tak Lebih 4 Orang Semeja – ‘Kebiasaan Baru’ Makan Di Restoran

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Menerusi perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei ini, restoran akan dibenarkan menerima pelanggan untuk makan di premis dengan satu meja tidak lebih empat orang.

Semua pelanggan juga perlu memberikan nama, nombor MyKad, nombor telefon dan membenarkan suhu badan diambil.

Menurut garis panduan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara, jarak antara meja juga perlu sekurang-kurangnya dua meter.

Pemilik restoran juga perlu menyediakan pembersih tangan dan kemudahan membasuh tangan.

Mereka juga digalakkan menggunakan peralatan terbiodegrasi sekali guna dan pembersih yang mengandungi sodiom hipoklorit.

Garis panduan itu terpakai untuk restoran, medan selera, pusat penjaja, kiosk dan gerai makan tepi jalan.

Peraturan pendaftaran pelanggan dan maksimum empat orang semeja tidak terpakai untuk kenderaan saji dan gerai tepi jalan sementara.

Sementara itu, semua pasar basah, pasar pagi dan pasar tani yang ditutup sebelum ini akan dibuka semula apda 4 Mei, dengan peraturan penjarakan sosial dan pengambilan suhu badan pekerja secara mandatori.

Beberapa pasar basah, seperti pasar borong Kuala Lumpur, tidak dibenarkan beroperasi 24 jam seperti sebelum PKP dikuatkuasakan.

Secara umumnya, pelanggan dibenarkan berkunjung ke pasar basah antara pukul enam pagi hingga enam petang, sementara ke pasar pagi dan pasar tani antara pukul tujuh pagi hingga tujuh petang.

Selain itu, peniaga di pasar pagi dan pasar tani juga perlu membuka perniagaan secara bergilir bagi mengurangkan jumlah gerai, dan mengamalkan jarak dua meter antara gerai.

Semua pasar perlu menjalani disinfeksi sebaik waktu operasi tamat.

Semua kedai runcit dan pasar mini perlu mengehadkan bilangan pelanggan pada satu-satu masa, dan digalakkan menggunakan transaksi nirtunai (cashless). – FMT

1137