Wanita Ditemui Mati Dengan Kesan Tikaman Di Keningau

Shahrudin Mat Husain

KENINGAU: Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di badannya di kuarters kilang di Kampung Patikang Ulu, Keningau, semalam.

Wanita berusia 45 tahun ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di pintu masuk rumahnya, pada 2.30 pagi.

Difahamkan, mangsa menjalankan perniagaan kedai kecil-kecilan dengan menjual barangan keperluan untuk penduduk kuarters berkenaan.

Wanita berkenaan dipercayai dibunuh seorang remaja berusia 16 tahun, namun motif pembunuhan belum diketahui.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat dibunuh tempat kejadian dengan kesan tikaman.

“Sebilah pisau ditemui di lokasi kejadian yang mempunyai kesan darah di depan rumah mangsa.

“Tindakan pantas polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung motif kejadian.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Keningau untuk bedah siasat.

“Suspek berusia 16 tahun ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.- HMetro

17491