Lima Ditahan Sedang Ubahsuai Restoran Di Kolombong

Lima lelaki yang ditahan kerana ingkar PKP dengan melakukan pengubahsuaian restoran di Kolombong Baru, Kota Kinabalu. Gambar ihsan PDRM

KOTA KINABALU: Polis menahan lima lelaki yang sedang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian sebuah restoran tanpa permit dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kolombong Baru di Kota Kinabalu, pagi tadi.

Semua suspek berusia 18 hingga 54 tahun ditahan anggota Balai Polis Inanam yang sedang membuat rondaan cegah jenayah dan pematuhan PKP, jam 11 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan mendapati, pemilik restoran membenarkan mereka melakukan kerja-kerja pengubahan kecil terbabit.

“Tiga daripada suspek tinggal di Putatan manakala dua lagi masing-masing tinggal Petagas dan Penampang.

“Semua suspek dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan,” katanya pada kenyataan.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.2) 2020. – BH Online

1439