Tiga Rumah Musnah Terbakar Di Pitas

PITAS: Tiga buah rumah telah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Rosob pada pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, seramai tujuh anggota termasuk Pegawai Bomba Kanan II Kamarudin Sabanah bersama dua buah jentera dan sebuah utiliti bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.47 pagi.

“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah telah musnah 100 peratus, iaitu dua buah rumah jenis separuh kekal dan sebuah rumah jenis tidak kekal.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran 300 kaki pancutan, dua pancutan sumber air jentera bomba,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, tindakan pantas bomba berjaya mengelak api terus merebak ke empat buah rumah berhampiran lain di kawasan berkenaan, sebuah masjid, sebuah prasekolah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) termasuk sebuah rumah perusahaan burung walit.

Tambah kenyataan itu, kebakaran dikawal sepenuhnya pada jam 6.34 pagi dan tamat pada 10.00 pagi.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.- BorneoToday

977