Pelajar Maut, Motosikal Rempuh Lembu

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terlanggar lembu yang melintas jalan di Jalan Pasir Putih, Keningau.

KENINGAU: Seorang pelajar lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya dipercayai terlanggar seekor lembu yang melintas di Jalan Pasir Putih, di sini, malam tadi.

Dalam insiden kira-kira jam 8.30 malam, mangsa berusia 17 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata kemalangan berlaku ketika mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Taman Golf View menuju ke Taman Luagan melalui Jalan Pasir Putih.

Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang rosak teruk selepas terlanggar lembu yang melintas jalan di Jalan Pasir Putih, Keningau.

“Sebaik saja tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal sendirian dipercayai terlanggar seekor lembu berada di atas jalan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata, motosikal ditunggang mangsa turut mengalami kerosakan teruk, manakala lembu terbabit pula cedera.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu disebabkan haiwan melintas. Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan.

“Jenazah mangsa kemudian dihantar ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Berita Harian

Lembu terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Jalan Pasir Putih, malam tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *