Kerajaan Negeri Digesa Benarkan ‘Runner’ Persendirian Beroperasi – Armada Tawau

Notis Majlis Perbandaran Tawau / Ketua Armada Bahagian Tawau Khazarudin Kahar

TAWAU: Kerajaan Negeri khususnya Sabah COVID-19 Command Centre digesa agar menimbang memberi kelonggaran kepada “runner persendirian” untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Membuat gesaan itu, Armada Bersatu Bahagian Tawau berpendapat “runner persendirian” wajar dibenarkan beroperasi dengan syarat ketat yang ditetapkan oleh kerajaan dan pihak berkuasa keselamatan.

Ketuanya, Encik Khazarudin Kahar berkata langkah kerajaan memberikan kebenaran hanya kepada lima kategori perkhidmatan penghantaran yang ditetapkan, hanya melibatkan runner dalam perkhidmatan makanan bermasak.

“Sebaliknya runner untuk penghantaran bahan mentah dan barangan jenis lain tidak dilibatkan”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan Kerajaan Sabah pada Jumaat (24 April) yang memutuskan khidmat ‘runner’ tidak berdaftar adalah dilarang bagi semua urusan sepanjang tempoh PKP yang berkuat kuasa hingga 12 Mei ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong, berkata langkah itu susulan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan khidmat ‘runner’ tidak berdaftar beroperasi di negeri ini.

“Kerajaan negeri mengambil maklum bahawa pergerakan rakyat Sabah adalah terhad berikutan pelaksanaan PKP bagi menghalang penularan dan seterusnya memutuskan rantaian wabak COVID-19 di Sabah.

“Namun demikian, permintaan menggunakan perkhidmatan ‘runner’ tidak berdaftar adalah tidak dibenarkan dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah diarahkan untuk memantau perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Ir.Haji Amrullah Haji Kamal pada 25 April 2020 telah mengeluarkan notis larangan perkhidmatan runner tidak berdaftar

Notis itu antara lain menyatakan khidmat “runner tidak berdaftar” bagi semua urusan adalah dilarang sepanjang tempoh PKP berlangsung.

Menurut notis itu, hanya 5 perkhidmatan penghantaran dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP iaitu More Fun, FoodPanda, McDonald Delivery Service, KFC Delivery Service dan Pizza Hut Delivery Service.

Menurut Amrullah, Majlis Perbandaran Tawau bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan melakukan pemantauan berterusan terhadap mana-mana “runner” tidak berdaftar yang beroperasi dalam tempoh PKP ini.

“Keingkaran terhadap peraturan itu akan menyebabkan pihak berkuasa mempertimbangkan tindakan tegas terhadap “runner tidak berdaftar””, katanya.

Khazarudin berkata, sebahagian besar runner persendirian khususnya di daerah Tawau dan daerah-daerah lain di negeri ini adalah golongan belia yang berusaha mencari pendapatan untuk keluarga berikutan tidak dapat bekerja seperti biasa.

Menurutnya, ramai golongan belia yang tidak dapat bekerja sepanjang PKP, maka mereka mencari peluang lain dengan menjadi runner sesuai dengan saranan kerajaan menggalakkan masyarakat untuk terus berada di rumah.

“Golongan belia khususnya yang bujang dan berkerja sendiri juga amat terkesan akibat penularan wabak COVID 19 dan PKP. Sebahagian daripada mereka juga tidak mendapat apa-apa bantuan daripada Kerajaan Negeri”, tegasnya.

Justeru, beliau berharap kerajaan memberikan kelonggaran kepada runner persendirian yang terdiri daripada golongan belia muda untuk berkhidmat sepanjang PKP ini.

Bagaimanapun tegasnya, mereka (runner persendirian) hendaklah patuh dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan khususnya Sabah COVID-19 Command Centre.

Katanya, syarat-syarat lain termasuklah mereka hendaklah berdaftar dengan PBT, terdiri daripada warganegara Malaysia, mempunyai surat pemeriksaan kesihatan/ujian saringan COVID-19 daripada klinik (tertakluk syarat Kementerian Kesihatan Malaysia), salinan geran kenderaan, lesen memandu yang sah dan lain-lain.

Katanya, di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia penghantar makanan dan bungkusan (parcel hailing) dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

SumbeR: Armada Bersatu Bahagian TAWAU

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *