PENAMPANG: Bukan sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang wanita turut biadap terhadap anggota dan pegawai polis yang bertugas dalam Op Covid-19 di Taman Ketiau, Penampang kelmarin.
Wanita berusia 28 tahun akhirnya menerima padah apabila dia ditahan kerana ingkar PKP dan menghalang tugas penjawat awam pada jam 5.25 petang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menjalankan tugas pemantauan di kawasan berkenaan mengesan seorang wanita bersembang dengan beberapa penduduk.
“Anggota polis kemudian mengarahkan mereka supaya pulang ke rumah masing-masing.
“Selang beberapa minit selepas anggota polis selesai membuat rondaan di kawasan sekitar, wanita itu masih lagi belum pulang dan berada di tempat yang sama.
“Suspek (wanita) itu kemudian memarahi polis supaya tidak mencampuri urusannya,” katanya kepada media ketika ditemui sebaik selesai berbuka puasa bersama anggota dan pegawai IPD Penampang di sekatan jalan raya di Jalan Penampang Bypass, semalam.
Mohd Haris berkata, suspek kemudian ditahan kerana ingkar arahan PKP dan cuba menghalang tugas penjawat awam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Setakat ini, IPD Penampang menahan seramai 90 individu yang ingkar PKP dan kita akan mengambil tindakan lebih tegas lagi terhadap mana-mana individu yang masih ingkar dan tidak mematuhi arahan yang ditetapkan.
“Mohon kerjasama masyarakat di daerah ini supaya sentiasa berada di rumah seterusnya mengelak daripada diambil tindakan,” katanya.
SumbeR: Harian Metro