Tiga Sekeluarga Antara Kes Positif Covid-19 Di Tambunan

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi

KOTA KINABALU: Tiga sekeluarga dilaporkan antara kes positif COVID-19 di daerah Tambunan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi, berkata kes anak-beranak berkenaan sebelum ini mempunyai sejarah perjalanan ke negeri lain di Semenanjung.

“Dua pesakit yang membabitkan keluarga ini sudah sembuh manakala satu pesakit telah meninggal dunia akibat COVID-19 selepas mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) selama sembilan hari.

“Tidak ada kes positif baharu dilaporkan berlaku di daerah ini sejak 7 April lalu.

“Bagaimanapun, aktiviti kawalan serta pencegahan diteruskan bagi memastikan tiada sebarang jangkitan baharu di daerah berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Christina berkata kolaborasi antara agensi kerajaan serta kerjasama masyarakat di daerah terbabit dilihat banyak membantu pejabat kesihatan daerah (PKD) Tambunan dalam menangani penularan COVID-19.

Katanya, antara aktiviti yang dijalankan termasuklah disinfeksi sekitar pekan Tambunan bersama majlis daerah dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Tambunan.

“Selain itu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) turut membantu dalam memastikan semua kemasukan orang luar ke semua kampung dimaklumkan kepada PKD.

“PKD Tambunan juga menyediakan kemudahan seperti bilik mandi dan persalinan tambahan untuk petugas di lapangan,” katanya.

Sementara itu, Christina berkata pihaknya memaklumkan tiada sebarang peningkatan kes positif COVID-19 baharu dicatatkan setakat semalam, sekali gus jumlah kekal 311 kes.

Beliau berkata, terdapat lima sampel positif dikenalpasti daripada 2,582 sampel yang diproses kelmarin namun smua sampel positif adalah sampel ulangan. – Berita Harian

7115