Malaysia Belum Sedia Tarik Balik PKP

KUALA LUMPUR: Malaysia belum bersedia menarik balik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh terdekat ekoran beberapa faktor yang masih kurang memuaskan dan perlu ditangani, kata Pakar Perunding Kanan Pediatrik, Datuk Dr Amar Singh HSS.

Bekas Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak itu, daripada enam kriteria untuk keluar PKP yang digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara masih mempunyai beberapa kekurangan.

Kekurangan itu adalah dari segi ujian saringan, kapasiti pegawai kesihatan, pengesanan kontak dan paling ketara pemikiran masyarakat.

“Saya berpendapat perkara ini masih belum masuk ke dalam minda dan prinsip masyarakat awam berhubung langkah pencegahan. Saya percaya tidak boleh hanya 50 atau 70 peratus orang yang bertanggungjawab.

“Untuk mencegah penularan wabak ini, dalam prinsip WHO, hampir semua masyarakat perlu ikut dan bertanggungjawab. Saya berpendapat bahawa ini masih belum masuk ke dalam fikiran masyarakat kita,” katanya dalam sesi webinar anjuran Pusat Media Sains (SMC) Malaysia dengan kerjasama Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC), semalam.

Sesi webinar berkenaan turut disertai Perunding Psikologi Klinikal dari Universiti Cyberjaya, Prof Madya Dr Zubaidah Jamil Osman dan Pakar Komunikasi Sains yang juga Pengasas Bersama SMC Malaysia Dr Mahaletchumy Arujanan.

Mengulas lanjut, Dr Amar Singh HSS, berkata 33 kes positif jangkitan COVID-19 dalam kalangan pesakit Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dalam tempoh dua minggu lalu menunjukkan jangkitan virus masih berlaku dalam komuniti.

“Apa yang kita tidak faham sampai sekarang walaupun dikawal, masih ada jangkitan dalam komuniti bermaksud virus itu masih merebak dari satu orang kepada individu lain dalam komuniti.

“Sekiranya kita tidak berhati-hati wabak ini akan kembali dan mungkin gelombang kedua dan ketiga akan lebih besar,” katanya.

Pada sesi berkenaan, beliau turut berkongsi garis panduan yang diterbitkan Majlis Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-Kanak (NECIC) antaranya melatih guru dan ibu bapa mengenai langkah pencegahan selain mengawal pergerakan murid dalam kelas dan juga di kawasan sekolah.

“Saya tidak dapat membayangkan 40 murid sekolah duduk dalam kelas bersama seorang cikgu. Saya rasa itu sangat bahaya.

“Budak-budak itu mungkin tidak meninggal dunia atau sakit teruk tetapi mereka akan membawa penyakit itu kepada ibu bapa dan datuk serta nenek,” katanya.

Sementara itu, Dr Zubaidah menyarankan orang ramai bersedia secara mental untuk menerima kebiasaan baharu pasca PKP seperti mengamalkan jarak sosial dan duduk di rumah.

Beliau berkata, amalan penjarakan sosial adalah kebiasaan baharu pasca PKP, tetapi yang penting ialah penjarakan fizikal bukan sosial dengan menyarankan masyarakat supaya sentiasa berhubung dengan keluarga, kawan dan ahli komuniti melalui media sosial dan teknologi.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *