Tiga Lelaki Tempatan Ditahan, Rampas Daging Rusa

TAWAU: Tidak sempat merasa daging haiwan liar hasil pemburuan haram, tiga lelaki tempatan ditahan Jabatan Hidupan Liar (JHL), di Jambatan Putih, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, JHL turut merampas daging lima ekor rusa yang sudah dikerat di beberapa bahagian.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, Sailun Aris berkata, terdahulu, pihaknya berjaya menahan kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki suspek antara 29 hingga 49 tahun itu berhampiran sebuah ladang di lokasi berkenaan.

Daging rusa yang dirampas semasa penahanan pemburu haram.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami berjaya menemukan daging haiwan berkenaan yang sudah dikerat kepada beberapa bahagian.

“Semua suspek gagal mengemukakan sebarang permit untuk membolehkan mereka memburu haiwan dilindungi itu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Sailun, siasatan mendapati suspek memburu di kawasan hutan simpan sekitar Luasong.

“Bagaimanapun, tiada sebarang senjata api ditemukan ketika pemeriksaan dilakukan.

“Sehubungan itu, daging berkenaan dirampas dan semua suspek disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya.

Selain itu, semua suspek juga akan diserahkan kepada polis bagi kesalahan mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – BorneoToday

1225