Jangan Jadikan COVID-19 Alasan Tidak Jalani Ibadah Puasa – Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 23 April: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menasihatkan umat Islam di negeri ini agar tidak menjadikan pandemik COVID-19 sebagai alasan untuk tidak melaksanakan pelbagai ibadah pada bulan Ramadan termasuk berpuasa.

Katanya dalam konteks solat misalnya, masyarakat Islam masih boleh melakukan ibadah itu di rumah bersama keluarga tanpa perlu ke masjid atau surau.

Beliau berkata dengan adanya kemajuan teknologi maklumat pula, masyarakat Islam boleh menunaikan ibadah zakat fitrah dari rumah, selain memberi sumbangan kepada golongan memerlukan melalui badan kebajikan dan badan bukan kerajaan.

“Kita sedia maklum Ramadan pada tahun ini sedikit sebanyak memberi cabaran kepada kita berikutan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Kita mesti mengatasi cabaran ini sama seperti kita menangani cabaran hidup, sebagaimana diajarkan oleh Rasulullah SAW melalui sirah perjuangan baginda menyebarkan syiar Islam,” katanya dalam perutusan sempena Ramadan 2020 di sini, hari ini.

Mohd Shafie turut menggesa rakyat Sabah untuk terus berada di rumah demi menjamin kesihatan dan keselamatan mereka.

Beliau percaya dengan kerjasama penuh seluruh rakyat, situasi getir kini akan dapat dilalui sekali gus penularan COVID-19 dapat dibendung bersama.

”Apa yang pasti, satu hakikat jelas ketika ini adalah kita masih belum dapat mengatasi COVID-19. Justeru, sebagai kerajaan, kita mengambil tanggungjawab melakukan apa yang perlu demi keselamatan dan kesihatan rakyat di negeri ini.

“Kita memahami ramai terkesan dengan langkah-langkah diambil kerajaan. Tetapi semua ini perlu dilakukan, demi kebaikan bersama. Teruslah berada di rumah demi keselamatan semua,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie mewakili kerajaan Sabah mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh masyarakat Islam di negeri ini dan mendoakan semoga ibadah puasa pada tahun ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan sempurna.

BERNAMA

508