Sabah Tidak Benarkan ‘Runner’ Tidak Berdaftar

‘Runner’ atau penghantar barangan tidak berdaftar di Sabah tidak dibenarkan melakukan sebarang perkhidmatan penghantaran sepanjang PKP.

KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan khidmat penghantar barang atau ‘runner’ tidak berdaftar bagi penghantaran perkhidmatan penting atau barangan penting sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pusat Arahan COVID-19 Sabah pada Khamis dalam usaha membendung penularan COVID-19 seterusnya memutuskan rantaian wabak itu.

“Kerajaan negeri maklum pergerakan rakyat Sabah adalah terhad berikutan pelaksanaan PKP. Bagaimanapun, permintaan menggunakan perkhidmatan ‘runner’ yang tidak berdaftar adalah tidak dibenarkan.

“Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarah untuk memantau perkara ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Safar berkata, kerajaan negeri turut mengeluarkan garis panduan pengurusan bangunan bertingkat sama ada yang berdaftar (perbadanan pengurusan) atau masih di bawah pengurusan pemaju (perbadanan pengurusan interim) dan garis panduan itu perlu dipatuhi oleh pihak terbabit.

Antara perkara perlu dipatuhi termasuk menutup kemudahan seperti dewan, gimnasium, kolam renang, sauna, taman permainan dan surau, selain menyediakan cecair pembasmi kuman serta saringan suhu badan di pondok pengawal, katanya.

Safar berkata pengurusan bangunan juga perlu melakukan nyahcemar di kawasan milikan bersama seperti lobi, lif dan ruang koridor.

“Bagi memastikan perkhidmatan kepada penghuni tidak terjejas, pejabat pengurusan dan perkhidmatan wakil pengurusan adalah dibenarkan beroperasi tetapi bilangan kakitangan yang bertugas serta masa operasi perlu dihadkan,” katanya.

Dalam pada itu, Safar berkata, kerajaan negeri bersetuju membenarkan klinik haiwan peliharaan swasta beroperasi setiap hari mulai 6 pagi hingga 2 petang kecuali bagi kes-kes kecemasan.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri akan mengenal pasti klinik yang dibenarkan beroperasi.

Operasi premis pengurusan dan perkhidmatan jenazah juga dibenarkan beroperasi setiap hari mulai 6 pagi hingga 6 petang dan PKOB serta PBT diarah untuk memantau perkara ini, katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *