Perutusan Ketua Menteri Sempena Ramadan 2020

KOTA KINABALU: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Bagi pihak Kerajaan Sabah, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di negeri Sabah.

Rukun Islam yang ketiga ini tentunya bukan hanya menuntut kita untuk berpuasa di bulan Ramadan, tetapi juga meningkatkan amal ibadah yang lain, agar diberi keberkatan dan ganjaran yang tinggi di sisi Allah SWT.

Kita sedia maklum bahawa Ramadan tahun ini sedikit sebanyak memberi cabaran kepada kita di mana kita diancam oleh kehadiran wabak pandemik Coronavirus atau Covid-19, yang melanda seluruh dunia.

Cabaran ini semestinya kita atasi sama seperti kita menangani cabaran hidup, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW melalui sirah perjuangan baginda menyebarkan Islam.

Kehadiran wabak ini juga seharusnya tidak menghentikan atau mengganggu kita daripada melaksanakan ibadah-ibadah wajib, seperti menunaikan solat, menjalani puasa dan lain-lain yang dituntut dalam islam.

Dalam konteks solat misalnya, kita masih boleh melakukan ibadah tersebut di rumah bersama keluarga tanpa perlu ke masjid atau surau.

Apa yang pasti, satu hakikat yang jelas adalah ketika ini, kita masih belum dapat mengatasi Covid-19.

Justeru sebagai kerajaan, kita mengambil tanggungjawab untuk melakukan apa yang perlu demi keselamatan dan kesihatan rakyat di negeri ini.

Kita memahami bahawa ramai yang terkesan dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan.

Tetapi semua ini perlu dilakukan, demi kebaikan bersama. Teruslah berada di rumah demi keselamatan semua.

Saya percaya kita semua dapat mengharungi situasi getir, sekali gus membendung virus ini daripada terus merebak.

Bagi mereka yang berkemampuan, bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak ini, marilah kita membantu golongan yang memerlukan dan kurang bernasib baik.

Dengan adanya kemajuan teknologi maklumat ketika ini, segalanya boleh kita lakukan dari rumah, seperti menunaikan zakat fitrah, memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan melalui badan-badan kebajikan, badan bukan kerajaan (NGO) yang ada dan sebagainya.

Semoga amal ibadah kita dibalas dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah SWT.

Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan selamat menjalankan ibadah puasa di Bulan Ramadan Al-mubarak.

Semoga Ibadah puasa pada tahun ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan sempurna serta beroleh ganjaran taqwa daripada Allah SWT.

Saya turut mendoakan agar kita semua dijauhkan dari penyakit, serta sentiasa di bawah perlindungan Allah yang maha kuasa.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *