Syarikat Malaysia Umum Berjaya Cipta Kit Ujian COVID-19

Mediven ialah syarikat diagnostik kesihatan yang membangun, membuat dan memasarkan kit ujian molekular diagnostik klinikal dan ujian segera. – Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR : Medical Innovation Ventures Sdn. Bhd. (Mediven), syarikat di bawah ekosistem Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) telah menghasilkan dua kit diagnostik untuk penyakit COVID-19.

Kit yang pertama berfungsi sebagai ujian saringan untuk COVID-19, termasuk influenza atau kluster penyakit mirip influenza (influenza-like illnesses, ILI) daripada sampel klinikal.

Kit kedua pula berfungsi sebagai ujian pengesahan COVID-19 juga daripada sampel klinikal.

Sebelum ini, wujud kesukaran untuk membezakan satu penyakit ke penyakit yang lain memandangkan kluster penyakit mirip influenza (influenza-like illnesses, ILI) menunjukkan simptom-simptom klinikal yang agak sama seperti demam, batuk dan sesak nafas.

“Melalui ujian tiub tunggal, GenoAmp® Real-Time RT-PCR Flu A/ Flu B/ SARS-Cov-2/MERS-CoV dapat mengesan dan membezakan jangkitan influenza A (H1N1, H3N2), influenza B, SARS-CoV-2 (gen Nucleocapsid (N), gen RNA-dependent RNA Polymerase (RdRP), gen ‘Spike’ (S)) dan MERS-CoV secara serentak dengan hanya menggunakan setitis sampel pesakit,” jelas Mediven dalam satu kenyataan.

Sementara kit diagnostik yang kedua, GenoAmp® Real-Time RT-PCR SARS-Cov-2 dapat mengesahkan jangkitan COVID-19 melalui saringan gen RdRp dan gen S, dan pengesahan melalui gen N daripada sampel pesakit.

“Ujian ini telah direka berdasarkan protokol antarabangsa yang disyorkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) untuk COVID-19. Satu kajian baru-baru ini yang diterbitkan di Lancet pada 24 Januari 2020 melaporkan bahawa S gene mempunyai kepekaan (sensitiviti) yang lebih baik untuk mengesan COVID-19 dalam swab nasofaring pesakit,” tambah kenyataan itu.

Mediven  juga memaklumkan kit-kit ini adalah ujian saringan awal yang membolehkan pengesanan beberapa virus secara serentak dalam satu ujian sahaja.

“Ini membolehkan peningkatan kecekapan dalam aliran kerja, memaksimumkan daya pemprosesan dan membantu pihak hospital untuk mengesan pesakit yang dijangkiti dengan lebih cepat dan tepat,” jelasnya.

Mediven adalah syarikat diagnostik perubatan yang membangunkan, mengeluarkan dan memasarkan ujian diagnostik molekul klinikal dan kit ujian pantas (rapid test kit).

SumbeR: Awani Online

1103