Dua Warga Pakistan Cuba Rasuah Polis

Mazli (kanan) bersama Mohd Haris (kiri) ketika sidang media di IPD Penampang. – Foto Polis Daerah Penampang

PENAMPANG: Dua lelaki warga Pakistan cuba menyogok RM7,000 pegawai polis yang menahannya kerana membawa rokok seludup ketika penguatkuasaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Ulu Putatan, di Penampang, kelmarin.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 3.30 petang itu, wang yang ditawarkan itu gagal mengaburi mata pegawai polis bertugas dan kedua-dua lelaki warga Pakistan berusia 29 dan 35 tahun ditahan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, kejadian itu berlaku apabila pegawai dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menahan sebuah Perodua Bezza yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Mazli (tengah) bersama Mohd Haris ketika sidang media di IPD Penampang. – Foto Polis Daerah Penampang

Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat dua lelaki warga Pakistan berada di dalam kereta berkenaan dan suspek gagal menyatakan tujuan pergerakan mereka ketika PKP.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui beberapa kotak rokok disyaki barang seludup dan mendapati suspek gagal mengemukakan dokumen pembelian bercukai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, malam tadi.

Mazli berkata, ketika tangkapan dilakukan, salah seorang daripada suspek mengeluarkan dan memberikan wang sogokan berjumlah RM7,000 sebagai ganjaran sekiranya mereka bersama barang seludup dilepaskan.

Katanya, walaupun sudah diberi amaran atas perbuatan itu namun suspek tidak mengendahkan menyebabkan pegawai dan anggota membuat tangkapan dan barang dipercayai seludup turut dirampas.

“Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut termasuk barang yang dirampas iaitu 755 kotak rokok pelbagai jenayah.

“Turut dirampas wang tunai RM37,409 dan kereta dinaiki suspek. Jumlah keseluruhan rampas bernilai RM109,409.

“Kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai penjaga kedai dan juga penghantar serta mengedarkan rokok disyaki seludup ke kedai-kedai di sekitar kawasan Putatan,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes rokok seludup disiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 manakala kes sogokan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan Pengawalan Penyakit-Penyakit Berjangkit 2020,” katanya.

SumbeR: HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *