DUN Sabah Lulus Peruntukan Tambahan RM553 Juta Perangi Covid-19, Bantu Rakyat

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM553 juta kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan Pakej Bantuan Covid-19, memerangi penularan wabak Covid-19 serta mentadbir urus negeri dengan baik.

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Pertama 2020 itu dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selaku Menteri Kewangan.

RUU berkenaan dibahas tiga wakil rakyat iaitu Datuk Dr. Jeffrey Kitingan (Star-Tambunan), Datuk Masiung Banah (Warisan-Kuamut) dan Jamawi Jaafar (Warisan-Kemabong).

Mohd. Shafie berkata, sebanyak RM75 juta akan diperuntukkan kepada Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan daripada jumlah tersebut, RM50 juta adalah peruntukan khas untuk membiayai perbelanjaan kecemasan Covid-19.

“Sejumlah RM10 juta untuk bantuan makanan dan keperluan kepada golongan petugas di barisan hadapan, manakala RM15 juta untuk bantuan keperluan bahan makanan di merata kampung terjejas,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan.

Beliau berkata, bagi membantu golongan petani, nelayan dan penternak yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebanyak RM50 juta disediakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi membiayai bantuan wang tunai 0ne-off RM300 kepada seramai 169,630 golongan itu.

Berdasarkan rekod, Ketua Menteri berkata, sehingga 17 April sebanyak 118,635 senarai golongan penerima bantuan itu telah diterima yang mempunyai nombor akaun bank.

Ketua Menteri berkata, sejumlah RM24 juta pula disalurkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) bagi membiayai bantuan tunai one-off RM300 kepada 62,638 warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim, manakala RM2 juta disediakan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita, Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

Mohd. Shafie berkata, RM62 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi membantu seramai 38,203 golongan miskin tegar dan miskin dengan bayaran one-off RM500.

“Berdasarkan laporan sehingga 17 April, seramai 22,094 ketua isi rumah miskin dan miskin tegar telah menerima sebanyak RM11.1 juta, bagi permohonan sedang dalam proses pembayaran,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak RM340 juta akan diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan untuk dibelanjakan merangsang sektor ekonomi negeri dengan menyediakan pelbagai bantuan kepada usahawan.

“Daripada jumlah itu, RM90 juta diagihkan untuk penyediaan Dana Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta Skim Kredit Mikro yang diurus dan dikendalikan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah.

“Peruntukan lebih RM200 juta pula disediakan untuk pelaksanaan projek-projek kecil yang dijangka boleh membiayai pelaksanaan 1,000 projek menambah baik kualiti, liputan infrastruktur dan kemudahan asas di luar bandar,” katanya.

SumbeR: BorneoToday

2686