670,713 Kanak-Kanak Sabah Sudah Terima Suntikan Vaksin Polio

Datuk Frankie Poon

KOTA KINABALU: Seramai 670,713 kanak-kanak bawah umur 13 tahun di Sabah sudah menerima suntikan vaksin dos pertama polio (bOPV).

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, manakala suntikan dos kedua bOPV sudah diberikan kepada 299,764 kanak-kanak pada peringkat umur sama.

Frankie berkata, secara keseluruhan, kementeriannya mensasarkan 853,265 kanak-kanak mendapatkan suntikan vaksin melalui Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) di seluruh Sabah.

“Kempen ini masih diteruskan namun pelaksanaannya agak perlahan terutamanya selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pemberian imunisasi polio masih diteruskan kepada kanak-kanak yang datang ke klinik untuk mendapatkan imunisasi rutin dalam usaha mencapai sasaran liputan imunisasi polio melebihi 95 peratus.

“Manakala, pemberian imunisasi vaksin mOPV2 yang sepatutnya bermula pada 23 Mac lalu sudah ditunda dan dijadualkan semula berikutan PKP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias, Datuk Isnin Aliasnih pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri, di Dewan Undangan Negeri, di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, Frankie menyatakan penerimaan masyarakat setempat ke atas kempen berkenaan sangat baik.

Sementara itu, beliau berkata tiada sebarang pertambahan kes polio baharu dilaporkan di Sabah sehingga awal bulan ini.

“Kedudukan kes Polio yang disahkan ketika ini adalah empat kes iaitu membabitkan daerah Sandakan (2 kes), Tuaran (1 kes) dan Kinabatangan (1 kes).

“Menerusi jumlah berkenaan, hanya satu kes positif sahaja masih berada di wad namun berada dalam keadaan stabil,” katanya.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *