Peniaga Ingkar PKP, Miliki Syabu Ditahan Di Inanam

Plastik kecil lutsinar yang ditemui polis selepas menahan suspek kerana ingkar PKP di Inanam. Foto Ihsan PDRM

KOTA KINABALU: Seorang peniaga ditahan selepas didapati bukan sahaja ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah turut memilik dadah dalam kejadian di Jalan Kuala Neutron, Inanam, semalam.

Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, ketika menjalankan tugas Op Covid-19, pada 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, anggota MPV sedang menjalankan rondaan terserempak motosikal ditunggang suspek dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan.

“Ketika diperiksa, suspek menyerahkan satu bungkusan plastik kecil lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan berat kasar 0.10.

“Susulan itu tangkapan dilakukan atas kesalahan dadah dan ingkar PKP kerana berada di luar (rumah) tanpa alasan munasabah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Suspek turut disiasat mengikut Peraturan 11 Perintah Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *