Kira-Kira 343,400 Orang Telah Terima Bantuan COVID-19 Di Sabah Sehingga Jumaat Lepas

Shafie Apdal

KOTA KINABALU, 20 April: Kira-kira 343,400 orang telah menerima bantuan COVID-19 di seluruh negeri ini sehingga Jumaat lepas melibatkan peruntukan RM65,241,900, kata Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Antara penerima bantuan itu terdiri daripada golongan berpendapatan rendah B40, golongan penjaja dan peniaga kecil, pesakit COVID-19, petugas di barisan hadapan, serta masyarakat mudah terjejas.

“Pelaksanaan bantuan berkenaan masih berterusan dan diharap dapat meringankan kesulitan dalam menampung keperluan harian rakyat ketika ini.” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr. Joachim Gunsalam (PBS-Kundasang) yang bertanya apakah bantuan yang telah, sedang dan akan diberikan oleh kerajaan negeri kepada rakyat Sabah yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19 berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Shafie berkata kerajaan juga telah memberi bantuan kewangan secara sekali bayaran sebanyak RM500 kepada 22,456 ketua isi rumah golongan miskin dan 15,747 ketua isi rumah miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.

“Kerajaan menyedari bahawa golongan miskin dan miskin tegar adalah antara golongan yang amat memerlukan bantuan, apatah lagi ketika berhadapan dengan situasi sukar ketika ini,” tambahnya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri juga telah menerima sumbangan dalam bentuk kewangan dan peralatan daripada syarikat bukan kerajaan, badan berkanun negeri dan sektor swasta khusus untuk menangani wabak COVID-19.

“Setakat ini, jumlah bantuan kewangan yang diterima berjumlah RM11,380,000. Sumbangan ini dimasukkan ke dalam Tabung Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Negeri.

“Kerajaan negeri akan memastikan sumbangan ini digunakan khusus untuk perkara-perkara berkaitan COVID-19 di negeri ini. Bagi sumbangan yang diterima dalam bentuk peralatan perlindungan peribadi (PPE), ianya sedang diagihkan kepada hospital, klinik kesihatan dan agensi barisan hadapan,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *