‘Iron Man’ Tampil Hulur Bantuan Di Penampang

PENAMPANG: Penampilannya memakai kostum Iron Man ketika membeli barangan di Pasar Donggongon pagi tadi menarik perhatian ramai.

Namun bukan perhatian yang dimahukan oleh peminat Cosplay yang sering memakai pakaian adiwira ini.

Yohan Charles Jayasuriya,39, berkata, beliau mengambil pendekatan berbeza dalam menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada rakan-rakan alumni Sekolah Menengah (SM) ST Michael, Penampang.

Katanya, beliau datang ke Pasar Donggongon bagi membeli barangan keperluan yang ingin disumbangkan kepada 15 orang rakan alumni sekolah yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Katanya, inisiatif membantu rakan-rakan alumni SM ST Michael ini dimulakan oleh rakannya, Randolf Paza dan beliau berbesar hati kerana diamanahkan untuk menyampaikan bantuan barangan keperluan tersebut.

Istilah ‘kita jaga kita’ cukup mencerminkan usaha dan keprihatinan mereka dalam membantu masyarakat yang terjejas.

“Sebagai seorang yang terlibat dalam Cosplay sejak hampir 10 tahun, saya ingin membawa sedikit keceriaan pada wajah anak-anak penerima bantuan ini.

“Biarpun bukan mudah untuk memandu dengan memakai kostum Iron Man namun, pengorbanan itu berbaloi apabila melihat wajah anak-anak yang tersenyum ceria menerima kedatangan saya ke rumah mereka,” katanya menerusi Facebook.+

Yohan berkata, bukan hanya wajah ceria si anak kecil yang membuatkan beliau gembira, senyuman mesra pengunjung dan peniaga di Pasar Donggongon yang ditemui juga cukup membuatkannya merasa gembira.

Dalam masyarakat berdepan kesukaran sepanjang PKP ini, beliau bersyukur kerana kehadirannya membuatkan insan lain tersenyum gembira. – BorneoToday

1136