KOTA KINABALU: Hospital Gleneagles Kota Kinabalu (HGKK) melaporkan kes Covid-19 pertama melibatkan seorang wanita tempatan berusia 55 tahun.
Wanita berkenaan disahkan positif Covid-19 pada 17 April lalu setelah menjalani ujian saringan Covid-19 termasuk ujian swab, iaitu pengambilan sampel air liur dari mulut.
Pesakit wanita itu dimasukkan ke HGKK bagi menjalani pembedahan dan pihak hospital mengambil pendekatan merawat pesakit berkenaan sebagai pesakit yang disyaki menghidap Covid-19 sementara menunggu keputusan ujian pengesanan.
Pesakit ini sudah dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth I setelah disahkan positif Covid-19 untuk pengesahan dan rawatan selanjutnya.
Berdasarkan kenyataan HGKK, hospital telah merawat pesakit ini sebagai pesakit yang disyaki menghidap Covid-19 sejak dari awal dan langkah keselamatan telah diambil semasa merawat pesakit ini.
Untuk makluman, semua kawasan yang terjejas telah ditutup bagi tujuan pelaksanaan penyahkuman berdasarkan garis panduan kawalan penyakit berjangkit.
Semua kakitangan yang merupakan kontak kepada pesakit juga telah dikenal pasti dan diarahkan untuk menjalani kuarantin 14 hari dan ujian saringan Covid-19 ke atas semua kakitangan terlibat sudah dilakukan.
HGKK telah menguruskan pesakit itu dengan baik seiring dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sejak Januari, HGKK telah mengamalkan pelbagai langkah pencegahan termasuk menghadkan pintu masuk di hospital dan mengambil suhu badan setiap pengunjung yang datang ke hospital. – BorneoToday