Wanita Ditemui Maut Di Bawah Kereta Di Keningau

Pasukan bomba dan polis mengeluarkan mayat wanita yang ditemui tersepit di bawah kereta di hadapan rumahnya di Kampung Biah, Keningau.

KENINGAU: Seorang wanita ditemui maut tersepit di bawah kereta di hadapan rumahnya, di Kampung Biah, Batu 4, di sini, semalam.

Mayat wanita berusia 40-an itu ditemui oleh suaminya, jam 7.10 malam sebelum bertindak menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa ditemui di bawah kereta jenis Hyundai di hadapan rumahnya.

“Pihak Hospital Keningau mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau mengeluarkan mangsa daripada bawah kereta berkenaan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Keningau untuk tindakan lanjut. Pasukan Forensik juga dipanggil untuk membantu siasatan di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu daripada pelbagai aspek termasuk dari aspek jenayah.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang keterangan berkaitan dalam unsur jenayah.

“Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.- BH Online

31757