Vivian Sumbang Susu Formula Kepada Keluarga Memerlukan

SANDAKAN: Keluhan masyarakat yang terputus bekalan susu formula untuk bayi terbela selepas Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong membekalkan barang keperluan itu kepada golongan yang sangat memerlukan.

Vivian berkata, sebelum ini beliau menerima kira-kira 150 mesej dan panggilan telefon daripada penduduk yang meminta bantuan susu formula untuk bayi.

Susulan itu, Vivian berkata, pejabat Parlimen itu mula mengagihkan bantuan susu formula hari ini di samping turut memberi tumpuan untuk mengedarkan barangan keperluan lain kepada penduduk yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ketika ini, bekalan susu formula yang ada terhad, namun kita akan berusaha agar dapat membantu keluarga yang memerlukan susu formula untuk anak mereka.

“Saya difahamkan, lebih 200 keluarga memerlukan bantuan yang sama,” katanya di sini, hari ini.

Vivian turut menggesa orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut membantu usaha untuk mengurangkan bebanan penduduk.

Beliau berkata, orang ramai atau NGO yang mahu membantu boleh mengambil inisiatif sendiri untuk mengumpul bantuan atau menghubungi Pejabat Parlimen Sandakan.

SumbeR: BorneoToday

2356