Maut Selepas Sesak Nafas Ketika Memadam Kebakaran Hutan

Pasukan penyelamat menyeberangi Sungai Gading dan berjalan kaki sejauh satu kilometer ke lokasi Justin Dangeh dari Kampung Lingkubang mengalami sesak nafas.

KOTA BELUD: Seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Sabah maut dipercayai mengalami sesak nafas ketika operasi memadamkan kebakaran di hutan simpan berhampiran Sungai Gading, Kampung Pituru Darat di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Justin Dangeh, 53, dari Kampung Lingkubang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas terpisah daripada kumpulan rakannya yang bersama-sama memadamkan api.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun, berkata selepas menerima panggilan kecemasan jam 6.06 petang, seramai 10 anggota bergegas ke lokasi berserta sebuah jentera dan kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Katanya, operasi turut disertai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihak perubatan hospital Kota Belud serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Disebabkan jalan ke lokasi terlalu curam, kami menukar laluan di Kampung Song-Song dan memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) sebelum berjalan kaki memasuki hutan sejauh satu kilometer termasuk menyeberangi Sungai Gading menggunakan empat bot milik penduduk kampung.

“Sebaik tiba, pihak paramedik mengesahkan mangsa meninggal dunia sebelum diusung keluar dari kawasan hutan, jam 2.50 pagi tadi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital Kota Belud manakala semua pihak terbabit operasi diarahkan membuat nyah cemar.

“Punca kejadian masih dalam siasatan sebelum operasi ditamatkan jam 3.10 pagi,” katanya. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *