COVID-19: Lahad Datu Kini Zone Merah

KOTA KINABALU: Lahad Datu kini dikategorikan sebagai zon merah selepas jumlah keseluruhan kes Covid-19 di daerah berkenaan kini sebanyak 42 kes, temasuk tiga kes baharu hari ini.

Daerah berkenaan adalah yang ketiga dikategorikan sebagai zon merah selepas Tawau dan Kota Kinabalu, sebelum ini.

Sementara itu, sebanyak 10 lagi kes baharu dicatatkan di Sabah, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kini sebanyak 303.

Pertambahan itu membabitkan tujuh daerah iaitu Lahad Datu yang meningkat tiga kes, Tawau dua kes serta Kota Kinabalu, Sandakan, Tuaran, Penampang dan Beaufort masing-masing satu kes.

Statistik terbaharu itu disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung di laman Facebook beliau, hari ini.

Dalam perkembangan sama, seramai 22 lagi pesakit jangkitan wabak itu telah sembuh dan dibenarkan pulang, hari ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh di negeri ini seramai 168, iaitu melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan kes.

Tiada kes kematian dicatatkan hari ini dengan jumlah korban akibat Covid-19 di Sabah kekal empat kes iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan kes Covid-19 selepas Selangor yang merekodkan jumlah 1,340 kes, Kuala Lumpur (985), Johor (639), Negeri Sembilan (405) dan Sarawak (403).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *