Baiknya Penduduk Kampung Kuai Kandazon

Pelbagai barangan keperluan asas digantung di perhentian bas Kampung Kuai Kandazon, Penampang untuk diberikan kepada penduduk setempat secara percuma.

PENAMPANG: Perhentian bas di Kampung Kuai Kandazon, Penampang menjadi lokasi pemberian keperluan barangan asas secara percuma kepada penduduk setempat yang memerlukan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penduduk kampung berkenaan akan menyumbangkan keperluan makanan mengikut kemampuan masing-masing setiap hari untuk individu atau keluarga yang terjejas pendapatan harian mereka.

Pelbagai keperluan asas atau makanan disumbangkan seperti ikan, sayur-sayuran, kuih-muih dan beberapa barangan kering lain.

Malahan terdapat sesetengah penderma turut membungkus sumbangan mereka di dalam plastik khas yang sudah mengandungi pelbagai barang keperluan termasuklah beras dan minyak masak.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kuai Kandazon, Valentine Benilus berkata semua barangan sumbangan penduduk kampung akan digantung dan sesiapa yang memerlukan hanya perlu datang ke perhentian bas terbabit untuk mengambilnya.

“Usaha ini sudah bermula sejak minggu pertama PKP diumumkan pada 18 Mac lalu. Permulaan inisiatif ini hanya dimulakan oleh beberapa penduduk kampung sahaja berikutan menyedari ada golongan kurang berkemampuan yang terkesan serta tidak dapat turun bekerja.

“Bagaimanapun, jumlah penderma untuk aktiviti ini semakin ramai selepas melihat sambutan luar biasa yang diterima dalam kalangan penduduk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Valentine berkata walaupun keadaan ketika ini sedikit sukar khususnya buat yang tinggal di kawasan kampung namun secara tidak langsung dapat melihat perpaduan serta sikap prihatin penduduk dalam sesebuah kampung.

Kampung Kuai Kandazon terletak sekitar tujuh kilometer daripada pekan Donggongon.

Kampung terbabit terdapat kira-kira 140 buah rumah dan memiliki kepadatan penduduk seramai 800 orang. – HMetro

1339