Ahli Parlimen Tawau Agih 4,300 Bantuan Makanan

Foto Pusat Khidmat Parlimen Tawau

TAWAU: Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau mengagihkan 4,300 bantuan barangan keperluan makanan menerusi Program Bantuan Bencana Covid-19 dan Bantuan Sara Hidup Rakyat, di sini semalam.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew berkata, semua barangan sumbangan kerajaan negeri itu diberikan secara berperingkat meliputi pelbagai lapisan masyarakat sekitar daerah ini.

Foto Pusat Khidmat Parlimen Tawau

“Tumpuan diberikan kepada golongan memerlukan seperti warga emas, ibu atau bapa tunggal, anak yatim, dan ramai lagi.

“Hari ini (semalam) saya sendiri turun padang untuk mengagihkan bantuan di beberapa lokasi sekitar Tawau sebelum selebihnya akan diteruskan oleh petugas pejabat parlimen,” katanya kepada media, di sini semalam.

Tambahnya, antara lokasi yang menjadi tumpuan penyampaian bantuan berkenaan adalah sekitar pasar basah, rumah ibadah dan kampung.

Sementara itu, Christina melihat program bantuan di negeri ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin baik dan mencapai golongan sasar.

Foto Pusat Khidmat Parlimen Tawau

“Memang awalnya ada sedikit masalah, namun berjaya diatasi dan ada penambahbaikan dari masa ke semasa.

“Perlu diingat, berkaitan bantuan kebajikan sosial yang berlaku secara mengejut, bukannya bantuan biasa, sudah tentu akan berdepan masalah,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Christina, kerajaan negeri sedang giat berusaha sebaik mungkin dalam memastikan bantuan sampai kepada rakyat Sabah. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *