Syarikat Telekomunikasi Di Sabah Boleh Beroperasi Tiga Hari Seminggu

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah membenarkan syarikat telekomunikasi membuka perkhidmatannya tiga hari seminggu dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata kebenaran itu adalah seiring dengan arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Bagaimanapun, premis berkenaan hanya boleh beroperasi pada Isnin, Rabu dan Jumaat bermula 9 pagi hingga 2 petang.

Safar Untong

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) dikehendaki memastikan pusat perkhidmatan telekomunikasi ini mematuhi semua prosedur operasi standart (SOP) sepanjang PKP dijalankan,” katanya melalui kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Safar berkata keputusan berkenaan diambil dalam Mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre, semalam.

Menerusi kenyataan sama, beliau turut memaklumkan kebenaran sama juga diberikan kepada semua syarikat pos dan kurier yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012.

Menurut Safar, syarikat pos serta kurier boleh beroperasi mulai 6 pagi hingga 6 petang setiap hari serta perlu mematuhi SOP digariskan kerajaan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri dalam mesyuarat sama memutuskan kargo di pelabuhan Sabah juga memiliki pelepasan ketika pelaksanaan PKP.

“Sabah Port Sdn Bhd melalui Kementerian Pembangunan Infrastruktur diberi pelepasan untuk mengeluarkan semua kargo dari gudang di semua pelabuhan negeri ini mulai 15 hingga 17 April.

“Keputusan ini adalah bertujuan bagi mengelakkan kesesakan gudang dan kawasan penyimpanan kargo di pelabuhan tetapi ia harus selaras dengan SOP ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, perkhidmatan kedai pajak gadai di seluruh negeri tidak dibenarkan beroperasi berikutan aktiviti berkenaan tidak tersenarai sebagai perkhidmatan perlu di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.3) 2020.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *