Kerajaan Negeri Benarkan Pelepasan Semua Kargo Di Sabah Port

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 17 April: Kerajaan Sabah memberi kebenaran kepada Sabah Port Sdn Bhd untuk mengeluarkan semua kargo dari gudang di semua pelabuhan negeri ini sejak Rabu hingga hari ini,  kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

“Keputusan ini bertujuan untuk mengelakkan kesesakan gudang dan kawasan penyimpanan kargo di pelabuhan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Safar berkata kebenaran beroperasi dikeluarkan kerajaan negeri sebelum ini bagi perkhidmatan penting dan barangan keperluan serta semua kebenaran khas dilanjutkan sehingga 28 April mengikut Tatacara Pengoperasian ditetapkan.

Fasa ketiga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 15 hingga 28 April ini.

Beliau berkata kebenaran itu turut melibatkan semua pergerakan dan pengangkutan barangan keperluan serta perkhidmatan penting di antara daerah iaitu mulai jam 6 pagi hingga 6 petang.

“Bagi kenderaan perdagangan membawa barangan keperluan dan perkhidmatan penting, bilangan pekerja dibenarkan di dalam sebuah kenderaan hendaklah tidak melebihi bilangan pekerja dinyatakan dalam permit.

“Bagi peniaga kecil yang menggunakan kenderaan persendirian membawa barangan keperluan seperti hasil pertanian, penternakan, perikanan dan hasil laut turut dibenarkan,” katanya.

Safar berkata kerajaan negeri turut membenarkan syarikat telekomunikasi untuk membuka pusat perkhidmatan tiga hari seminggu iaitu pada Isnin, Rabu dan Jumaat mulai jam 9 pagi hingga 2 petang, manakala perkhidmat pos dan kurier pula dibenarkan beroperasi setiap hari mulai jam 6 pagi hingga 6 petang.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak membenarkan operasi kedai pajak gadai kerana aktiviti itu tidak tersenarai sebagai perkhidmatan penting di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No.3) 2020.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *