Jumpa Mayat Abang Tinggal Rangka

Mayat mangsa yang ditemui hanya tinggal rangka di rumahnya di Kampung Padas Valley, Beaufort.

BEAUFORT: Seorang lelaki warga emas ditemui mati dalam keadaan hanya tinggal rangka di kediamannya di Batu 3, Kampung Padas Valley, di sini, semalam.

Mayat Phong Yet Ming, 75, itu ditemui kira-kira jam 4.30 petang oleh adiknya yang sebelum itu melawat mangsa sebelum terhidu bau busuk.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, jarak rumah mangsa dan adiknya adalah kira-kira 50 meter yang terletak di kawasan hutan.

Keadaan rumah yang didiami mangsa.

“Berdasarkan maklumat awal, adik mangsa berusia 65 tahun dikatakan pergi melawat abangnya di rumah berkenaan dan memangilnya beberapa kali namun tiada jawapan dan pada masa sama terhidu bau busuk.

“Bimbang sesuatu buruk berlaku, adiknya masuk ke dalam rumah dan terkejut apabila menemui mayat yang tinggal rangka dipercayai mayat abangnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

“Mangsa juga dipercayai mempunyai masalah mental namun tidak pernah mendapatkan rawatan dari mana-mana hospital.

“Walaupun jarak rumah adiknya dengan mangsa adalah hampir, namun rumah mangsa tidak kelihatan kerana diliputi hutan dan pokok-pokok tinggi.

Anggota polis yang menjalankan pemeriksaan di lokasi rumah mangsa.

“Kali terakhir adiknya menemui abangnya pada dua minggu lalu untuk menghantar bekalan makanan,” katanya.

Menurutnya, rangka dan tengkorak mangsa sudah dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut.

“Tiada sebarang unsur jenayah dilaporkan setakat ini dan kes itu diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut,” katanya. – Berita Sabah

5567