Ingkar PKP, Sembilan Lagi Ditahan Di KK

Foto Ihsan Polis Daerah Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Sembilan lagi individu ditahan di sekitar bandar raya ini selepas didapati melanggari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini masuk fasa ke-3, semalam.

Operasi berkenaan diketuai Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob bersama tujuh pegawai dan 38 anggota.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi tertumpu di Bandaraya Kota Kinabalu dan beberapa lokasi sekitar termasuk Salut Commercial Centre Sepanggar, Pekan Telipok, Penempatan Telipok, Pekan Menggatal dan Pekan Inanam.

Foto Ihsan Polis Daerah Kota Kinabalu

Katanya, hasil operasi ini, sembilan orang awam ditahan kerana melanggar arahan PKP iaitu berada di luar rumah tanpa alasan yang munasabah.

“Sepanjang tempoh PKP ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sudah menahan seramai 141 orang.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Polis selain Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 11 (1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit 2020,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Habibi berkata, semua tangkapan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk proses siasatan dan pendakwaan.

“Operasi pematuhan ini yang dijalankan adalah bagi memastikan orang awam sentiasa mematuhi PKP yang dijadualkan sehingga 28 April depan.

“Operasi Pematuhan PKP ini akan dijalankan dari masa ke semasa sehingga arahan tarik balik dikeluarkan,” katanya. – Berita Sabah

12082