Ingkar PKP, Notis Kompaun Paling Banyak Dikeluarkan Di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 15 daripada 26 notis kompaun dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah diidaerah ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, pada 15 April, sebanyak 26 notis kompaun dengan jumlah RM 26,000 telah dikeluarkan oleh PDRM di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Daripada jumlah itu, 15 notis di Kota Kinabalu, tiga notis masing-masing di Tuaran, Putatan dan Tenom serta dua di Penampang.

Pada masa sama, sebanyak 765 premis telah diperiksa semasa operasi bersepadu di mana dua premis di Sandakan diarahkan tutup di bawah Seksyen 18(1)(f), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

Katanya, dua kedai serbaneka ini ditutup disebabkan pemilik premis ingkar perintah arahan waktu beroperasi yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Sandakan.

Menyentuh mengenai keseluruhan sampel pesakit Covid-19 yang telah diproses sehingga 15 April, Christina berkata, sebanyak 23,480 sampel daripada 279,826 orang yang telah menjalani saringan pemeriksaan telah siap diproses.

Katanya, individu yang masih ditempatkan di Pusat Kuarantin sehingga kini adalah 739 orang. Bilangan kumulatif yang discaj dari kuarantin adalah seramai 1,010 orang.

Beliau berkata, sebanyak 5,425 orang masih dalam dalam pemantauan perintah pengawasan dan pemerhatian bagi menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Mengulas lanjut,  beliau berkata, masih terdapat keluhan dalam kalangan mereka yang dikuarantin di rumah di mana masyarakat menganggap mereka sebagai pembawa penyakit.

Oleh itu, pihak JKNS ingin menasihatkan orang awam untuk tidak mendiskriminasi golongan ini kerana keadaan ini boleh mewujudkan budaya menuding jari yang boleh menimbulkan masalah yang lebih besar. – BorneoToday

7634