Hentikan Penggunaan Bahan Kimia Elak Kematian Gajah – Christina

KOTA KINABALU: Pengusaha ladang kelapa sawit di negeri ini disaran agar tidak menggunakan bahan kimia pada tanaman masing-masing kerana dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada gajah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew dalam satu kenyataan berkata, kematian gajah disebabkan oleh termakan tumbuhan beracun perlu dihentikan.

Atas sebab itu, kerjasama rapat antara Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan pengusaha ladang kepala sawit perlu bagi membendung masalah kematian gajah di ladang.

Katanya, kerjasama sebegitu penting dalam memastikan kematian gajah akibat diracun dapat dikurangkan dan dielakkan.

Beliau berkata demikian susulan kematian anak gajah betina Pygmy Borneo berusia 10 tahun yang ditemukan mati di Ladang KUB (Kesatuan Usaha Bersatu) berhampiran Hutan Simpan Malua, Kinabatangan pada 8 April lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan & Alam Sekitar ini berkata, berdasarkan bedah-siasat didapati tiada kecederaan luar pada anggota badan gajah tersebut. Anak gajah itu dipercayai mati akibat diracun.

Menurutnya, beliau faham pengusaha ladang berdepan dengan masalah kemasukan gajah di kawasan ladang mereka selaras dengan prinsip mengakui kewujudan gajah dan membenarkan hidupan itu bergerak bebas di kawasan ladang.

Christina berkata, ini selaras dengan cadangan yang dikemukan melalui Pelan Tindakan Gajah 2020-2029.

“Saya menghargai kerjasama sebegini kerana ia selaras dengan usaha konservasi negeri Sabah untuk membenarkan gajah bergerak bebas di kawasan tempat tinggal mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, banyak lagi usaha perlu diambil bagi mengurangkan kematian gajah akibat termakan bahan yang beracun di kawasan perladangan.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *