2 Tan Sayur Diagihkan Pejabat Parlimen Sandakan

SANDAKAN: Sebanyak dua tan sayur kubis diagihkan oleh Parlimen Sandakan kepada penduduk perkampungan atas air Sim-Sim dan beberapa pusat khidmat sosial di sini.

Pusat khidmat sosial itu adalah Pusat Latihan Orang Buta Taman Cahaya di Sungai Manila, Rumah Warga Tua Sri Harapan dan Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Al-Yakin.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berkata pihaknya menghargai inisiatif oleh beberapa organisasi yang menyumbangkan sayuran berkenaan dalam usaha membantu penduduk berpendapatan rendah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sayuran ini diagihkan kepada penduduk berpendapatan rendah dan pusat khidmat sosial.

“Kita berharap usaha ini sedikit sebanyak membantu mereka ketika berdepan situasi sukar ini,” katanya.

Shir Yee berkata, proses pengagihan sayuran itu turut dibantu oleh kumpulan sukarelawan, Abam Botak bagi mempercepatkan penghantaran sayuran kepada penduduk.

455