Ingkar PKP, Dua Pesalah Kena Hukum Cuci Tandas Awam 3 Bulan

KOTA KINABALU: Akibat ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua lelaki tempatan diperintahkan untuk membersihkan tandas awam selama tiga bulan, di Mahkamah Majistret, di sini semalam.

Perintah mahkamah itu dikenakan ke atas Adrian Chok Ken Kit dan Ak Mohd Daud Sulaiman selepas kedua-dua mereka mengaku bersalah atas kesalahan melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020.

Majistret Lovely Natasha Charles memerintahkan kedua-dua tertuduh supaya menjalani khidmat masyarakat dengan mencuci tandas awam selama empat jam setiap hari selepas PKP berakhir.

Bagaimanapun lokasi tandas awam dimana kedua-dua tertuduh akan menjalani khidmat masyarakat itu akan ditentukan oleh pegawai parol.

Sekiranya kedua-dua tertuduh gagal mematuhi perintah mahkamah tersebut, mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan.

Adrian, 23, yang merupakan seorang juruteknik penghawa dingin melanggar arahan PKP ketika ditahan di Inanam pada 10.15 malam pada 11 April lalu. Tertuduh dikatakan melakukan pergerakan dari Pekan Inanam ke Likas tanpa alasan yang kukuh.

Sementara, Ak Mohd Daud ditahan di hadapan Kompleks Kerajaan Persekutuan pada 9.30 malam, hari yang sama. Ak Mohd Daud juga dikatakan bergerak dari Kampung Likas ke Sepanggar semasa PKP tanpa alasan yang kukuh. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *