Covid-19: Tiada Kes Di Sabah Hari Ini, 5 Lagi Sembuh Dibenarkan Pulang

KOTA KINABALU: Tiada kes baharu Covid-19 dicatatkan di Sabah hari ini dengan jumlah keseluruhan kes kekal sebanyak 285.

Menurut statistik terbaharu yang disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Phoon, sebentar tadi, seramai lima lagi pesakit jangkita wabak itu telah sembuh dan dibenarkan pulang, hari ini.

Daerah yang telah dikategorikan sebagai zon merah iaitu Tawau kekal sebagai daerah tertinggi mencatatkan kes Covid-19 dengan jumlah 79 kes.

Tawau sebelum ini juga telah merekodkan satu kes kematian akibat Covid-19.

Kota Kinabalu pula kekal daerah kedua tertinggi iaitu sebanyak 40 kes dengan dua kematian telah direkodkan di daerah berkenaan, setakat ini.

Sementara itu, Lahad Datu menjadi daerah ketiga tertinggi mencatatkan kes positif Covid-19 dengan jumlah 39 kes disusuli Sandakan dan Tuaran yang masing-masing merekodkan jumlah 20 kes.

Daerah lain yang telah mencecah jumlah 10 kes dan ke atas ialah Kinabatangan dengan jumlah 19 kes, Keningau dan Penampang masing-masing 11 kes serta Beaufort dengan jumlah 10 kes.

Jumlah kes bagi lain-lain daerah ialah Kunak dan Putatan masing-masing lapan kes, Kota Belud (5), Sipitang (4), Papar (4), Tambunan (3), Ranau (2) serta Semporna (2).

Jumlah kes kematian akibat Covid-19 juga kekal empat kes iaitu selain dua di Kota Kinabalu dan satu di Tawau, satu lagi kes adalah di Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan kes Covid-19 selepas Selangor yang merekodkan jumlah 1,316 kes, Kuala Lumpur (926), Johor (601), Sarawak (371) dan Negeri Sembilan (363).- Berita Sabah

2110