COVID-19: Sembilan Daerah Di Sabah Zon Hijau, Sifar Kes – Pengarah Kesihatan

KOTA KINABALU, 12 April: Sembilan daerah di Sabah kekal sebagai zon hijau atau sifar kes COVID-19 setakat ini, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Christina Rundi.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata daerah itu ialah Telupid, Beluran, Tongod, Kuala Penyu, Tenom, Nabawan, Kudat, Pitas dan Kota Marudu.

Mengambil contoh Telupid, Dr Christina berkata, anggota kesihatan daerah itu mengambil pendekatan proaktif dengan menasihatkan masyarakat untuk bersama-sama berusaha dan memberi kerjasama padu dalam memastikan Telupid kekal sebagai zon hijau.

“Ini termasuk menasihatkan masyarakat supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, mengekalkan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter, mengelak bersalaman dan berkumpul, terus memakai penutup mulut dan hidung sekiranya batuk atau selesema,” katanya. 

Dr Christina berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) amat menghargai usaha orang awam menghubungi pejabat kesihatan jika terdapat notis dimuatnaik dalam media sosial seperti Facebook dan Whatsapp bagi meminta kontak kes positif COVID-19 tampil menjalani pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Beliau berkata notis-notis seumpama itu akan dikeluarkan dari semasa ke semasa sebagai langkah memastikan individu terdedah kepada kes positif COVID-19 dapat dikesan awal.

“JKNS berharap orang awam tidak panik tetapi terus memberi kerjasama serta tidak menimbulkan stigma terhadap mereka yang terkesan,” katanya.

Mengulas perkembangan kes COVID-19 di Sabah, Dr Christina berkata, terdapat 10 kes baharu dilaporkan semalam masing-masing melibatkan tiga kes di Tawau dan Penampang, selain satu kes di Sandakan, Kinabatangan, Beaufort dan Keningau.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negeri ini 260 kes setakat semalam, katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *