Kesesakan Di Pasar Foh San Timbul Kebimbangan Penularan Covid-19

KOTA KINABALU: Suasana sesak di Pasar Foh Sang awal pagi tadi mengundang kebimbangan akan penularan jangkitan wabak Covid-19 di negeri ini.

Gambar yang tular menunjukkan orang beratur panjang dan kenderaan sesak di kawasan Foh Sang menimbulkan kerisauan orang ramai dan juga pemimpin tempatan.

Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe menerusi paparan Facebooknya berkata, beliau amat bimbang melihat gambar yang menunjukkan orang ramai di Pasar Foh Sang itu.

Katanya, beliau sudah memberi penekanan berkali-kali bahawa tempat itu bukanlah tempat dimana orang ramai boleh membeli-belah seperti hari biasa. Tidak dibenarkan kupi-kupi mahupun jalan-jalan.

“Biarpun pasukan saya sudah digerakkan ke situ bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mengawal keadaan trafik, namun keadaan yang berlaku amat mengecewakan.

“Ini adalah masa PKP, masa yang sangat luar biasa. Hanya jika kita berpegang kepada arahan diberikan, kita dapat memenangi perang ke atas wabak ini.

“Saya mengalu-alukan pandangan dan komen daripada semua pihak,” katanya dalam paparan Facebooknya, di sini hari ini.

Phoong berkata, beliau akan berbincang perkara itu dengan pihak berkaitan mengenai langkah seterusnya yang boleh diambil dalam mengawal keadaan sebegitu.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Junz Wong mengingatkan masyarakat di pusat bandaraya ini supaya tidak panik dengan pengumuman lanjutan PKP yang dibuat Perdana Menteri semalam.

ADUN Tanjung Aru ini berkata, Sabah berjaya mengawal bilangan kes Covid-19 dengan baik ketika ini maka, jangan mengabaikan usaha yang dilakukan semua pihak selama 24 hari lalu.

“Kita pasti tidak mahu Foh Sang menjadi kluster baharu Covid-19 dan tidak mahu Foh Sang kena ‘lockdown’ seperti di Tawau dan Lahad Datu.

“Kita perlu mematuhi segala langkah pencegahan penularan wabak Covid-19. Jaga jarak selamat dan pakai topeng penutup hidung dan mulut,” katanya menerusi paparan Facebooknya.

Junz berkata, tidak perlu membuat pembelian panik hanya disebabkan PKP dilanjutkan.

Katanya, tidak perlu membeli simpanan barangan secara berlebihan seolah-olah berlaku kekurangan bekalan makanan dan masalah logistik untuk menghantar bekalan.

Beliau memberi jaminan bekalan makanan di Sabah mencukupi jadi tidak perlu membeli simpanan makanan secara berlebih-lebihan.

Tambahnya, pemimpin di peringkat akar umbi termasuk Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan kapitan Cina juga dinasihatkan membantu menasihatkan orang ramai agar tidak panik dengan situasi semasa. Nasihatkan orang ramai agar tidak perlu melakukan pembelian panik.

“Kita boleh menangani penularan jangkitan wabak ini sekiranya kita semua bersatu memerangi perang terhadap Covid-19,” ujarnya.

Sehingga kini, sebanyak 250  kes positif Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan tiga kematian direkodkan dan 96 kes pulih sepenuhnya.- BorneoToday

2860