Ingkar PKP, 3 Lelaki Ditahan Miliki Syabu Di Lahad Datu

LAHAD DATU: Tiga lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu di perairan Sungai Ambuai, di sini, lewat malam semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pihaknya turut menemui satu paket kecil lutsinar berisi hablur jernih dan kertas foil yang disimpan dalam kotak rokok milik suspek.

“Terdahulu, sepasukan anggota PPM melakukan rondaan di lokasi kejadian selepas mendapat maklumat aktiviti ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hasil pemantauan, anggota bertugas menemui sebuah perahu kayu dinaiki tiga lelaki,” katanya.

Mohamad berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan berjaya menemui dadah berkenaan disimpan dalam kotak rokok dipercayai bagi mengelak tercicir dan dikesan pihak berkuasa.

“Sehubungan itu, PPM merampas dadah bersama perahu dan enjin bot dianggarkan bernilai hampir RM12,000 bagi membantu siasatan.

“Semua suspek berumur antara 29 hingga 50 tahun itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mereka juga didakwa kesalahan mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 7, Peraturan yang sama, kerana kejadian berlaku dalam tempoh PKP. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *