Presiden MPT Menangis Rayu Orang Tawau Terima Simpati Ramai

Datuk Ir Amrullah Kamal

TAWAU: Rakaman audio temuramah Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang menangis saat memujuk  orang Tawau supaya jangan keluar rumah menjadi tular di media sosial minggu ini.

Utusan Borneo difahamkan, temuramah terbabit berlangsung menerusi siaran sebuah stesen radio di Tawau pada minggu lepas namun mula mendapat perhatian warga net awal minggu ini.

Tinjauan di media sosial seperti grup WhatsApp dan Facebook mendapati ramai warga net yang mengaku turut terharu dan bersimpati dengan Presiden MPT itu (Datuk Ir Amrullah Kamal).

Dalam audio terbabit, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau itu kesal dengan kedegilan segelintir warga yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ir Amrullah, walaupun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memasuki fasa dua, masih ada masyarakat Tawau yang enggan mematuhi arahan diberikan.

“Saya rasa harapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya rakyat ‘go home’ (balik ke rumah), ‘stay at home’ (duduk di rumah) tidak didengar oleh (segelintir) masyarakat di sini.

“Buktinya masih ada yang berkumpul di pasar (ikan), pasar raya dan beberapa tempat lain di sekitar daerah ini (secara bersesak-sesak tanpa mengikut saranan penjarakan sosial) ,” katanya.

Mengulas lanjut, situasi yang tular di media sosial itu mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.

“Masyarakat Tawau perlu sedar dan lihat seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, Itali dan Sepanyol ketika ini mempunyai angka kematian yang tinggi dan penyebaran wabak ini begitu sukar dikawal.

“Masalah di sana (negara-negara terlibat) berpunca daripada sikap rakyatnya yang sombong, tidak peduli nasihat dan ingkar kawalan hingga memburukkan keadaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau merayu semua warga Tawau menjaga keselamatan diri, keluarga dan komuniti, serta berharap barisan petugas hadapan meneruskan perjuangan dengan tabah.

SumbeR: Utusan Borneo

4401