Kompaun RM1,000 Mungkin Rendah, Masih Ramai Ingkar PKP – Ismail Sabri

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA, 10 April: Kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadap pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin rendah sehingga masih ada yang ingkar perintah itu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, beliau berkata kerajaan mungkin akan meminta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara jika perlu untuk menaikkan lagi denda, kompaun atau tempoh penjara yang boleh dikenakan.

“Saya tidak tahu mengapa masih ramai ingkar PKP, tidak pasti …kemungkinan juga kompaun RM1,000 itu terlalu rendah.

“Kalau kita lihat di luar negara, di Singapura misalnya mulai 17 April ini, hukuman pesalah pertama (PKP di Singapura) adalah 10,000 dolar Singapura, manakala kesalahan kedua 20,000 dolar Singapura,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP, di sini, hari ini.

Mereka yang ingkar PKP didakwa mengikut Peraturan 6 dan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BERNAMA

566