Dua Remaja & Janda ‘Isap Gam’ Ditahan, Ingkar PKP

Habibi Majinji

KOTA KINABALU: Dua remaja dan seorang wanita status janda bukan sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah khayal selepas disyaki menghidu gam di kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Dua remaja lelaki berusia 12 dan 16 tahun dan wanita berusia 20 tahun ditahan sepasukan polis kira-kira jam 12 tengah malam dalam rondaan Op Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketiga-tiga individu itu ditahan selepas mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua remaja itu tinggal di bangunan SAFMA manakala wanita terbabit di kawasan Tanjung Aru dan tujuan mereka berada di kawasan pasar untuk menemui rakan mereka yang lain.

“Mereka turut mengaku ada menghidu gam sebelum ketiga-tiganya ditahan kerana melanggar PKP yang sedang berkuatkuasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, semua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.

Sementara itu, Habibi berkata pihak polis mengingatkan orang ramai khususnya masyarakat di bandar raya ini supaya mematuhi arahan PKP dan tidak akan berkompromi kepada sesiapa yang ingkar arahan berkenaan. – Berita Sabah

5321