Surat Tular Tentang Tawaran RM47.5 Juta Palsu, Pejabat SKN Lapor Polis

KOTA KINABALU: Sekeping surat yang tersebar di media sosial kononnya Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) menawarkan kontrak membekal makanan di sembilan daerah bernilai RM47.5 juta kepada sebuah syarikat adalah palsu.

Pemalsuan itu dikesan selepas seorang wanita tampil di Pejabat SKN membawa surat berkenaan dan hasil pemeriksaan nombor rujukan JKM.SKN P&K: 100-10/05/2 Kit. 8 (02) pada surat itu mendapati dokumen tersebut tidak pernah dikeluarkan dan menggunakan tandatangan palsu SKN.

Berikutan penularan surat palsu itu, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang pegawai di Pejabat SKN pada pukul 4.54 petang, 3 April lalu di Balai Polis Karamunsing bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengesan orang yang bertanggungjawab.

“Semakan mendapati bahawa fail JKM.SKN P&K: 100-10/05/2 Kit. 8 (02) tidak wujud di Pejabat SKN. Bahagian Pengurusan dan Kewangan, Jabatan Ketua Menteri telah membuka fail sulit bertajuk Covid-19 dengan rujukan JKM.P&K(s): 100-10/05/2 pada 31 Mac 2020.

“Manakala folio 02 pada fail berkenaan ialah surat bertajuk Sumbangan Dana Bantuan Makanan Pelajar-Pelajar IPTA: Pakej Bantuan Covid-19 Sabah bertarikh 1 April 2020 ditujukan kepada Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah.

“Semakan turut mendapati bahawa kenyataan di perenggan 02 iaitu Keputusan Mesyuarat Bencana Alam Negeri Sabah Bil08/2020 pada 24 Mac 2020 juga adalah tidak benar kerana tiada mesyuarat berkenaan diadakan pada tarikh tersebut,” kata pegawai berkenaan dalam laporannya.

Menurut pegawai berkenaan, SKN, Datuk Safar Untong tidak pernah menandatangani surat tersebut, justeru tandatangan yang digunakan adalah palsu.

“Adalah disahkan bahawa Pejabat SKN tidak pernah mengeluarkan mana-mana tawaran membekal barang-barang keperluan asas kepada syarikat pembekal.

“Saya tampil membuat laporan polis menafikan perkara seperti yang berkenaan surat tawaran membekal barang-barang keperluan asas kepada daerah-daerah seperti yang dinyatakan dalam surat itu dan untuk tindakan lanjut pihak polis,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *