Pelaksanaan PKPD Di Tawau Ditentukan MKN

KOTA KINABALU: Keperluan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Tawau hanya akan dilaksanakan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, PKPD ini mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Beliau berkata, orang ramai  perlu mematuhi arahan yang akan dikeluarkan dari masa ke semasa melalui PKPD sekiranya ada keperluan untuk ianya dilaksana di mana-mana lokaliti di sesebuah daerah.

Safar Untong

“Pelaksanaan PKPD tidak semestinya berkuatkuasa untuk keseluruhan sesebuah daerah kerana mereka (MKN) boleh menentukan lokaliti tertentu dimana ianya perlu dilaksanakan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bekalan Perubatan oleh Konsulat Jeneral Republi China di Kota Kinabalu, Syarikat Wylon Holdings Sdn Bhd dan Le Xiao Yao (M) Sdn Bhd, di sini hari ini.

Setakat semalam, Sabah mencatatkan 248 kes Covid-19 dan Tawau berada di kedudukan teratas dengan 67 kes positif termasuk 12 kes yang sudah pulih serta satu kes kematian.

Mengenai masalah eksport kayu yang disekat, Safar berkata, pengusaha-pengusaha kayu perlu melihat kepada aktiviti-aktiviti perniagaan yang dibenarkan beropeasi sepanjang PKP.

Aktiviti perniagaan yang dibenarkan hanya melibatkan perkhidmatan penting dan barangan penting yang sudah disenaraikan oleh kerajaan sebelum ini.

Atas sebab itu, beliau meminta pengusaha-pengusaha ini memahami keadaan semasa dimana aktiviti tidak berkaitan dengan perkhidmatan penting tidak dibenarkan beroperasi.

Menyentuh tentang pematuhan PKP di Sabah, rata-rata pematuhan rakyat di seluruh daerah di negeri ini adalah melebihi 95 peratus.

“Saya menerima laporan pematuhan PKP yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh Sabah ini setiap hari. Jika dilihat di Kota Kinabalu semalam, kadar pematuhan adalah 97.6 peratus,” ujarnya. – BorneoToday

2218